Kemelut melanda berhubung kes tunggakan gaji pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC melarat sampai ke padang apabila skuad Sang Kenari itu dibelasah habis-habisan Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Seperti diduga, KL City nyata bukan tandingan skuad muda Kedah itu apabila berjaya memperoleh tiga mata dengan berbekalkan keputusan 5-0.
Skuad The City Boys membuka akaun gol menerusi Jovan Motika pada minit ke-14, sebelum menambah dua gol sebelum tamat babak pertama hasil jaringan sendiri pemain Kedah, Hazrie Balqief Zulhadi pada minit ke-23 dan jaringan sepakan percuma Zhafri Yahya, tiga minit kemudian.
Malam penuh berdarah buat skuad kendalian Nafuzi Zain apabila kapten pasukan Paulo Josue melengkapkan malam gemilang KL City selepas merobek gawang Kedah pada minit ke-49 dan 59.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan KL City daki tangga kesembilan carta liga dan berkongsi lapan mata bersama KDA yang menghuni kedudukan ke-10.
Sebelum ini beberapa laporan media mengatakan pemain tidak menerima gaji sejak awal tahun ini, selain pada bulan lalu menyaksikan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pemain Kedah kini ditekan masalah di luar padang, namun tidak menjelaskan secara terperinci masalah dihadapi.