Tak Terima Gaji Selama 10 Tahun, Bekas Pekerja GISBH Mula Bersuara

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Mangsa membuat pengakuan bahawa tidak menerima gaji selama 10 tahun bekerja di syarikat itu

Pendedahan rahsia daripada seorang bekas pekerja Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mendakwa bahawa dia tidak pernah menerima gaji sepanjang tempoh berkhidmat selama 10 tahun bekerja dengan syarikat itu.

Buletin Utama melaporkan, pada peringkat awal dia bekerja, terdapat satu sistem yang digunakan syarikat bagi membayar beliau tapi kadar bayaran antara RM50 dan RM100 seminggu.

Bekas pekerja GISBH tu berkata,

“Itu yang saya ingatlah waktu tu, sampai 2013 macam tu. Lepas itu 2014, saya sudah mula bekerja sepenuh masa, tiada gaji.

“Maknanya ia cuma beri makan minum dan tempat tinggal,”

Beliau mendakwa, terdapat juga pekerja lain yang turut menerima nasib yang sama dengannya.

Beliau kemudian mula membuat keputusan untuk berhenti kerja dan membawa kesnya ke Mahkamah Buruh.

Pada 8 September lalu, mahkamah memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada beliau sebagai sebahagian daripada tuntutan kes.

GISBH ketika ini sedang berdepan pelbagai dakwaan berhubung eksploitasi dan penderaan kanak-kanak.

Dalam Op Global dijalankan antara 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa yang terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Selain itu, operasi yang dijalankan pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Justeru, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu telah melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd