“Saya Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Yang Maksimum,” – Bapa Bayi 8 Bulan Yang Maut Di Taska

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Mohd Fikry Amri akan membuat tindakan undang-undang yang maksimum kepada pengasuh dan taska. - Gambar dari FB Mohd Fikry Amri

Ibu bapa bayi lelaki 8 bulan yang maut dalam jagaan pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) pada Jumaat lalu akan menuntut bela atas kematian anak syurga mereka.

Menerusi satu perkongsian bapa mangsa di laman Facebook, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, berkata hukuman bukan sahaja dikenakan kepada pengasuh, namun pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Dia juga berharap pihak berkuasa menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya dan isteri akan menuntut bela diatas kematian anak syurga kami. Bukan hanya pengasuh tetapi pengusaha Taska juga perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas dari tindakan undang-undang,”

“Mohon perkenan YDP Agong, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kehakiman Negara (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memandang serius perkara ini agar hukuman maksimum dikenakan ke atas pengasuh dan pengusaha Taska tersebut,”

“Saya akan ambil tindakan undang – undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha Taska yang lain agar mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan,”

“Saya tidak mahu ada lagi anak-anak taska yang menjadi mangsa korban seterusnya. Pihak berwajib sila jalankan amanah dan tanggungjawab. 

“Pangkat dan jawatan diberi adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Nanti di akhirat kelak, kita semua akan dihisab di hadapan Allah,”

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin. Mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan dan perjuangan menuntut bela ini. Sama-sama kita bantu satu sama lain,” tulisnya. 

Jumaat lalu, bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri meninggal dunia di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah selepas beberapa jam dihantar ke pusat jagaan itu.

Mohd Fikry Amri juga melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana bayi sulung yang dinantikan selama 13 tahun didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek berusia 34 tahun.

Menurutnya, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd