Lee Zii Jia kembali berada dalam kelompok tiga terbaik berdasarkan kemaskini terbaharu ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemain profesional negara itu naik satu anak tangga, impak kejayaannya meraih gangsa pada Sukan Olimpik Paris, bulan lalu.
Kenaikan ranking Zii Jia itu turut disumbang kehilangan mata Jonatan Christie yang tidak menyertai Terbuka Jepun dua minggu lalu, yang menyaksikan ranking pemain Indonesia itu menjunam ke tangga ke-7.
Kali terakhir pemain berusia 26 tahun itu berada dalam kelompok tiga terbaik adalah pada 18 Januari tahun lalu yang menyaksikan dia menghuni nombor dua dunia – ranking terbaik dalam kariernya.
Pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia manakala juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen di tempat kedua.
Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak Februari lalu susulan kecederaan, jatuh tiga anak tangga di kedudukan ke-25 dunia.
Bagaimanapun, dengan Tze Yong memperoleh perlindungan ranking, dia tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi dalam kejohanan utama berdasarkan kedudukan terakhirnya di tangga ke-18.
Beregu lelaki kekal pertaruhan terbaik buat Malaysia apabila empat pasangan negara berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia.
Pasangan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik jatuh daripada nombor tiga ke kedudukan kelima dunia.
Tiga lagi gandingan iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kini bergerak secara profesional di kedudukan ke-12, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (17) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (19).