Kecederaan otot perut di bahagian kiri menjadi punca sebab momentum jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly terjejas sekali gus gagal meraih emas.
Atlet berusia 27 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 7.45 meter, manakala emas berjaya dituai Matvei Iakushev sejauh 7.51 meter.
Memetik laporan Bernama, dia yang memburu emas hatrik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik 2024 kali ini, akui situasi berkenaan menyukarkan dia beraksi dengan lebih baik.
“Kalah menang adat pertandingan, apa-apa boleh berlaku walaupun dalam lompatan terakhir sekali pun, saya redha dengan keputusan tersebut,”
“Seminggu sebelum pertandingan memang saya yakin, dalam latihan pun pernah buat 7.60 meter ke atas namun Rabu lepas otot perut kiri tertarik, memang sangat sakit,” katanya yang mula mengesan kecederaan tersebut sewaktu menjalani latihan di Paris.
Dalam pada itu, pemegang rekod dunia sejauh 7.64 meter di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, tekad untuk kembali bangkit merampas semula emas dari Iakushev pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.