Akibat Roda Ferris Terbakar, 30 Mangsa Mengalami Kecederaan

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Gambar yang tular di media sosial apabila roda ferris terbakar

Agensi Berita Jerman telah melaporkan bahawa lebih 30 orang mengalami kecederaan selepas roda Ferris di Festival Highfield berhampiran bandar Leipzig di timur Jerman terbakar pada Sabtu lalu.

Jurucakap polis berkata berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, semua mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap selepas dua gondola pada roda itu terbakar.

Kemalangan yang berlaku menyebabkan dua orang cedera parah dalam kejadian itu, berdasarkan maklumat daripada ketua operasi Palang Merah Jerman.

Walaupun jurucakap polis itu pada awalnya tidak dapat mengulas mengenai maklumat berkenaan tetapi beliau telah mengesahkan bahawa terdapat empat pegawai polis turut mengalami kecederaan.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan. Menurut wartawan yang berada di lokasi kejadian, dua gondola musnah sepenuhnya dalam kebakaran kira-kira jam 9 malam itu.

Seorang pengunjung festival dari Cologne yang melihat kejadian itu berkata, roda Ferris itu tiba-tiba berputar dengan laju. Gondola yang terbakar berada di bahagian paling atas roda.

Kebetulan penyanyi rap, Jerman Ski Aggu sedang membuat persembahan semasa kebakaran itu berlaku.

Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu dpa bahawa keadaan berjaya dikawal kira-kira 30 minit selepas kebakaran bermula.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd