
Anda masih ingat remaja yang tular menyamar menjadi doktor? Polis telah mengesahkan remaja yang menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Serdang pernah menjalani rawatan psikiatri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja tersebut menerima rawatan pada Mac lalu namun tidak meneruskan rawatan susulan seperti dalam jadual.
Remaja yang berumur 14 tahun itu mempunyai sejarah lampau mendapat rawatan psikiatri di hospital pada awal tahun pada bulan Mac malangnya dia tidak menyusuli rawatan seterusnya.
Hussein Omar berkata, remaja itu meninggalkan persekolahan dan pada masa sekarang mereka sedang merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. Jelasnya, remaja itu diserahkan kepada JKM untuk pemantauan dan sesi kaunseling sebelum laporan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, remaja itu telah menggunakan kad pengenalan ibunya untuk memasuki hospital berkenaan sebelum mendakwa pas kerjanya telah hilang.
Remaja tersebut berada dalam keadaan tertekan selain mempunyai emosi yang tidak stabil, menyebabkan dia bertindak sedemikian.