Terdapat khabar angin tentang legenda pop terkenal dunia, Celine Dion akan tampil kembali di upacara perasmian Sukan Olimpik Paris, awal pagi Sabtu ini semakin kencang dalam media sosial.
Media hiburan TMZ melaporkan bahawa penyanyi berusia 56 tahun itu telah mendaftar masuk di hotel mewah Royal Monceau di Paris pada Isnin lalu.
Celine sebelum ini mengakui memang menjadi impiannya untuk kembali ke Paris dan melihat semula Menara Eiffel.
Celine turut dilaporkan bakal menerima bayaran AS$2 juta (RM9.34 juta) hanya untuk satu lagu pada persembahannya awal pagi Sabtu ini.
TMZ menambah penyanyi yang terkenal dengan lagu My Heart Will Go On itu kini semakin bertambah sihat selepas berjuang melawan penyakit. Celine dilihat bersemangat untuk membuat persembahan pada Olimpik.
Tiada pengumuman rasmi lagi setakat ini walaupun Presiden Peranics Emmanuel Macron sudah memberitahu stesen penyiaran France 2 yang beliau sangat gembira jika Celine dapat bersama pada upacara perasmian.
Celine terpaksa melupakan seketika karier nanyiannya pada 2022 selepas didapati menghidap penyakit jarang berlaku Sindrom Stiff Person, yang turut didedahkan dalam dokumentari videonya.
Nama Celine bukanlah asing dalam temasya Olimpik. Beliau sebelum ini telah menyanyikan lagu The Power Of The Dream pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang disaksikan 3.5 bilion penonton dari seluruh dunia.
Seorang lagi penyanyi terkenal Lady Gaga turut menginap di hotel Royal Monceau dan dia juga turut dilapor bakal sepentas dengan Celine.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi daripada penganjur mengenai persembahan mereka kerana semuanya masih rahsia sehingga tiba hari perasmian awal pagi Sabtu ini.