SANGGUP anda untuk berkerja dari Teluk Intan, Perak ke kota metropolitan, Kuala Lumpur dan berulang alik setiap hari?
Kalau ditanya manusia waras yang ingin mengurangkan masa berada di atas jalanraya, jawapannya pasti tidak.
Namun berbeza pula dengan seorang lelaki di China, sanggup berulang alik sejauh 320 kilometer setiap hari.
Lapor South China Morning Post, individu yang bernama Lin Shu itu memuat naik perjalanan hariannya menerusi platform Douyin, dengan menjelaskan semuanya dilakukan atas dasar cinta kepada isteri.
Bayangkan, perjalanannya saja sudah memakan masa enam jam ulang-alik dari Weifang hingga Qingdao, dua-dua terletak di timur Wilayah Shandong.
Setiap hari, Lin akan bangun seawal 5 pagi untuk bersiap sebelum meninggalkan rumahnya 20 minit kemudian.
Lebih mengejutkan, bukan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda mahupun sebuah motorsikal, sebaliknya menunggang e-motorsikal.
Tetapi tidaklah sepanjang perjalanan menunggang ke tempat kerja, namun ke stesen kereta api.
Lelaki berusia 31 tahun itu akan menaiki kereta api pada 6.15 pagi dan tiba di Qingdao pada 7.46 pagi, sebelum akan menaiki sebuah lagi pengangkutan awam iaitu kereta api bawah tanah selama 15 minit untuk tiba di pejabatnya.
Menariknya, dia sempat bersarapan di kantin pejabat sebelum memulakan kerja pada 9 pagi.
Seusai kerja, Lin kemudian akan menempuh perjalanan dalam tiga atau empat jam lagi untuk pulang ke rumah.
Lin menjalin hubungan selama tujuh tahun sebelum mereka berkahwin pada Mei lalu.
Dia pernah tinggal di flat yang disewa sejam dari tempat kerjanya.
Bagaimanapun difahamkan, dia sanggup berulang-alik kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama isterinya, selain kos penginapan yang lebih mahal untuk sebuah flat di Qingdao.
Menurut laporan itu lagi, dia berkerja di sebuah syarikat perkakas rumah, Haier, dan dia mempunyai reputasi baik sebagai seorang pekerja.
Kos perjalanan bulanan Lin adalah kira-kira US$220 (RM1,031.21) sebulan.
Sebuah flat satu bilik tidur di Qingdao berharga 1,752 yuan (RM1,129.67) secara purata, menurut kerajaan bandar pantai itu.
Lin berkata perkara itu adalah sementara kerana isterinya sedang mencari pekerjaan di Qingdao, dan mereka bercadang untuk menetap di sana jika isterinya mendapat perkerjaan.
Kisah Lin menarik 7 juta tontonan di Douyin.