Ahli Kumpulan GISBH Merayu Untuk Ikat Jamin Rendah

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 ke atas tertuduh dengan dua orang penjamin

Seorang lelaki mempunyai tiga isteri yang juga ahli kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas ahli jemaah organisasi itu, awal bulan ini.

Bagaimanapun, bapa 10 anak itu, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.

“Faham, tidak mengaku bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu telah didakwa cuba menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 25 tahun dengan mengeluarkan kata-kata:

‘Kita tunggu … kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga.’

Kata-kata itu dengan niat hendak menimbulkan rasa kegentaran kepada wanita berkenaan yang enggan menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kenderaan sebuah kompleks pejabat di Presint 4, di sini, pada jam 10 malam, 9 September 2024.

Oleh itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 ke atas tertuduh dengan dua orang penjamin.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya tertuduh tidak mendekati atau menghubungi pengadu, menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan.

Bagaimanapun peguam, Zulfikri Ulul Azmin yang mewakili tertuduh menyifatkan tawaran jaminan oleh pihak pendakwaan itu tidak wajar dan terlalu tinggi sebelum memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan pada kadar minimum atas alasan mempunyai tanggungan ramai.

“Tertuduh berniaga sendiri dengan pendapatan RM4,000 sebulan dan mempunyai tiga isteri serta menanggung 10 anak.

“Mohon mahkamah turut mengambil kira bahawa tertuduh tiada risiko melarikan diri dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan pihak polis,” katanya.

Zulfikri berkata, anak guamnya tiada kaitan dengan GISBH seperti dilaporkan media massa.

“OKT tiada kepentingan dalam GISBH, anak guam berniaga sendiri dan mempunyai rangkaian bisnes bersama GISBH, terpalit dengan siasatan dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu telah dibantah Mohd Sabri yang mengesahkan tertuduh dalam rakaman percakapan kepada polis mengakui sebagai ahli GISBH.

Sebelum Ahmad Afiq membenarkan jaminan, tertuduh kemudian memohon supaya diberikan jaminan rendah memandangkan salah seorang isterinya baru saja melahirkan anak sebulan lepas selain pendaftaran bayi itu belum dibuat.

“Memandangkan sekarang cuti sekolah, saya perlu berdepan dengan 10 anak untuk menyediakan wang bagi persiapan sekolah akan datang,” rayunya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Afiq membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan supaya tidak mengganggu, menghampiri dan menghubungi pengadu sepanjang kes berjalan dan lapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama,” katanya yang kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan kes.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd