Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike yang tular kerana sudi menjaga tiga anak angkat lelaki Melayu beragama Islam yang juga yatim piatu telah menerima Anugerah Maulidur Rasul, hari ini.
Uncle Mike, 55, terharu apabila menerima anugerah sebegini kerana memberinya lebih motivasi dan inspirasi untuk meneruskan kerja kebajikan serta membantu ramai orang. Uncle Mike berkata,
“Rasa terharu, tak pernah menyangka dapat anugerah ini sebab saya dalam keluarga biasa sahaja. Selama 16 tahun saya tak bercerita dengan sesiapa pun sebenarnya (kisahnya menjaga tiga anak Melayu yatim piatu beragama Islam) sehinggalah ia disiarkan Harian Metro.
“Tak tahu nak cakap apa. Penghargaan yang kerajaan Malaysia bagi ini saya rasa sebenarnya memberi motivasi dan inspirasi bagi saya meneruskan kebajikan untuk tolong lagi ramai orang.”
Anugerah itu telah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 peringkat kebangsaan di sini.
Kisah Uncle Mike mendapat perhatian media apabila dia tidak kekok untuk menjaga Rafei Ahmad Fauzi, 29, dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, malah sangat menyayangi mereka seperti anak sendiri biarpun tidak mempunyai pertalian darah dan saling tidak mengenali sebelum ini.
Michael berkongsi kisah, pada mulanya dia hanya mengambil Rafei tinggal bersamanya yang pertama kali ditemui ketika berusia 12 tahun di rumah anak yatim di Gombak, Selangor kerana mahu membantunya mendapat kehidupan yang lebih baik.
Namun, Michael kemudiannya mula mengambil dua lagi adik Rafei selepas menemui nota luahan anak angkatnya itu yang mempersoal pemergian ibu bapanya dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik.