Pengakuan bahawa memang terdapat beberapa kes liwat pernah berlaku yang membabitkan individu dalam Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Perkara itu didedahkan sendiri daripada Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, melalui rakaman video yang dimuat naik di Facebook GISBH, pagi ini.
Datuk Nasiruddin Mohd Ali berkata,
“Ini tangkap sekali 400 lebih kemudian anak-anak itu anak-anak yang tidak tahu cerita. Kemudian dituduhnya liwat dan sebagainya. Memang liwat itu ada satu, dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua?”
Selain itu, beliau turut mengakui yang GISBH mempunyai kesalahan dari segi perundangan namun tidak menjelaskan lebih lanjut bentuk kesalahan tersebut.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya. Tidak apa, saya bukan hendak menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke?” tambahnya lagi.
Pada Rabu lalu, polis telah berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun menerusi Op Global, selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa yang terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Katanya, serbuan itu telah mendedahkan bahawa berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.