Penganggur Dipenjara Sebulan, Denda RM4000 Kerana Hasutan Terhadap Institusi Diraja

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Nor Ismail merayu supaya hukuman dapat diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud untuk menghasut kerana tidak membuat ucapan dan hanya menulis di TikTok sahaja

Seorang penganggur akur selepas dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini,  atas kesalahan melakukan hantaran hasutan terhadap institusi diraja di TikTok miliknya pada Julai lalu.

Majistret, M.Kalaiarasi juga memerintahkan tertuduh, Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerbitkan penerbitan yang menghasut melalui aplikasi TikTok iaitu ‘Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain..Sultan Kedah pencuri sebenar ketika itu, saya cabar seluruh Istana Anak Bukit dan mencabar Sultan Kedah.’

Kesalahan didakwa melakukan kesalahan di Pekan Sungai Petani pada jam 10 malam, 6 Julai lalu.

Pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Nor Ismail merayu supaya hukuman dapat diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud untuk menghasut kerana tidak membuat ucapan dan hanya menulis di TikTok sahaja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya memohon hukuman penjara yang setimpal kerana hasutan terhadap institusi diraja selain untuk memberi pengajaran kepada tertuduh agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial serta memberi pengajaran kepada orang awam.

Majistret juga menolak rayuan tertuduh untuk menghalang media melakukan liputan kes.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd