Hari ini dunia selebriti Malaysia digemparkan dengan berita rumah tangga Fazura dan Fattah Amin, selepas Fazura dilapor memfailkan perceraian terhadap suaminya.
Menurut laporan Gempak, sumber memaklumkan kes difailkan wakil peguam Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.
Namun laporan itu tidak mendedahkan secara terperinci butiran kes berkenaan.
Sebelum ini, drama keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah menjadi topik hangat di media sosial sejak kebelakangan ini.
Ia selepas pasangan itu didakwa tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Bagaimanapun, Fattah tampil menafikan isu itu.
Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.