Graduan UITM Umur 77 Tahun, Buktikan Usia Bukan Penghalang

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Datuk kepada enam cucu itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Sejarah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

“Biasalah orang berusia kadang-kadang cepat lupa dan saya juga perlu belajar lebih daripada orang muda tetapi itu bukan penghalang untuk menamatkan pengajian.”

Itulah pesanan daripada Zulkifly Abdullah, seorang warga emas yang tidak pernah jemu belajar.

Zulkifly, 77, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang bergraduasi pada 4 September lalu.

Pesara Kementerian Sumber Manusia itu telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuknya menuntut ilmu, malah lebih membanggakan apabila ijazah tersebut adalah ijazah keduanya.

Selain itu, datuk kepada enam cucu itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Sejarah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Zulkifly berkata, dia mendaftar pada 2018 untuk belajar secara separuh masa dan berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia menyambung pengajian atas kehendak sendiri yang meminati undang-undang kerana sebelum ini dia bertugas di Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai undang-undang dikuatkuasakan. Zulkifly berkata,

“Ketika bekerja saya fokus kepada pekerjaan dan kekangan itu menjadikan saya tidak menyambung pengajian selain ketika itu juga masih belum terfikir mahu sambung belajar.

“Selepas bersara saya mula terfikir untuk sambung belajar dan menuntut di UKM bermula 2007 hingga 2011 pada usia 60 tahun dan pada 2018 saya mendaftar untuk pengajian undang-undang pula di UiTM.”

Menurutnya, ketika menyambung pengajian di usia emas mempunyai cabaran tersendiri apabila dia perlu lebih melipat gandakan usaha untuk menelaah dan mengingati setiap pelajaran namun mengakui sokongan pensyarah dan rakan membantunya.

Tambahnya lagi, Zulkifly berkata,

“Keluarga saya juga memberi sokongan kepada saya dan anak lelaki saya (Mohd Azlan) juga seorang peguam dan kami selalu berbincang bersama selain saya sering merujuk kepadanya jika tidak memahami sesuatu perkara.

“Dalam kelas saya pelajar yang paling berusia yang mana pelajar lain berusia antara lingkungan 30-an hingga 40 tahun tetapi tiada perbezaan antara kami,”

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tidak menganggap usia menjadi penghalang untuk menuntut ilmu kerana baginya pendidikan akan kekal sepanjang hayat dan sesiapa saja boleh mencarinya asalkan mempunyai kemahuan dan minat.

“Undang-undang ini kita kena rajin membaca dan perlu konsisten. Ia dapat meluaskan pengetahuan am kita. Jika ada peluang belajarlah tanpa mengira usia,” katanya memberi pesanan kepada generasi muda.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd