Penjara 5 Tahun Kerana Mencabul Remaja Di Pasar Malam

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan

Seorang gelandangan terpaksa menghabiskan masa ke penjara selama lima tahun dan menerima satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar di sebuah pasar malam di Kluang, Julai lalu.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Ho Khek Chung, 50, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan pemberatan hukuman daripada pihak pendakwaan terhadap kesalahan tertuduh.

Selain itu, tertuduh juga yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah pasar malam di Kluang pada jam 4.15 petang, 31 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemani ibunya ke pasar malam terbabit untuk membeli makanan.

Namun, ketika mangsa berselisih dengan tertuduh, lelaki itu mula mengambil kesempatan melakukan perbuatan tersebut.

Selepas kejadian itu, mangsa menangis lalu menceritakan kepada ibunya sebelum terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh dia ditahan pada 31 Julai lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd