Hasrat jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk menebus kekecewaan di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila meraih pingat perak pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pada aksi final acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) yang berlangsung di Stade de France, atlet berusia 34 tahun itu melakukan catatan terbaik pada percubaan ketiga dengan lontaran sejauh 17.18 meter (m).
Catatan itu bagaimanapun dianggap masih jauh dengan rekod Asia 17.43m yang dilakukan pemegang rekod Asia itu ketika dia memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei lalu.
Paralimpik Paris merupakan penampilan keempat Ziyad di temasya sukan terbesar dunia itu dengan meraih satu pingat emas pada edisi Rio 2016, satu perak (Paris 2024) dan satu gangsa (London 2012).
Dalam pada itu, pingat emas menjadi milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali menerusi catatan 17.61m manakala gangsa menjadi milik rakan sepasukannya, Maksym Koval (16.99m).