Yasin Terpaksa Akur Terima Hukuman Penjara Seumur Hidup, 16 Sebatan

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik

Pasti ramai yang mengenali komposer dan penyanyi terkenal, Yasin Sulaiman. Siapa sangka, hari ini merupakan kisah paling gelap dalam hidupnya apabila dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan penyanyi lagu bertajuk Mimpi Laila.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, yang sebelum ini pernah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dalam tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor telah digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.

Yasin hanya sempat berkata bahawa hari ini merupakan hari yang gelap untuk dirinya sebaik dibawa polis.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya terdapat Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga Yasin telah didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu juga pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd