Pantau Rumah Golongan Elit Pasang Lampu Sebelum Pecah Masuk Rumah

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik

Modus operandi alaf baru apabila menjadikan perumahan elit sebagai sasaran untuk memecah masuk rumah ketika tiada penghuni.

Mereka akan memantau rumah yang memasang lampu siang hari sebelum memecah masuk rumah.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari 13 Ogos lalu, tiga suspek telah memecah masuk rumah seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di Nilai Impian, di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, dua daripada suspek berkenaan berjaya ditahan dan pihaknya masih sedang memburu seorang lagi yang masih bebas.

Abdul Malik berkata, kira-kira jam 1.10 tengah hari 13 Ogos lalu, Kaunter Aduan Balai Polis Nilai menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan satu kes pecah rumah di Nilai Impian.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil pada jeriji pintu utama dan pintu masuk utama.

Katanya, modus operandi suspek dengan cara memantau mana-mana rumah yang masih memasang lampu pada waktu siang kerana mereka tahu pasti tiada penghuni di rumah itu.

Justeru, mereka memilih waktu tengah hari berbanding kejadian pecah rumah biasa yang dilakukan pada waktu malam atau awal pagi.

Beliau berkata, susulan kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Negeri Sembilan membuat tangkapan terhadap dua lelaki pada 16 Ogos.

Menurutnya, tiga suspek terbabit dalam kejadian ini dan polis memohon bantuan orang awam bagi menyalurkan maklumat supaya dapat mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Julian Said, 37 tahun, dan beralamat di Tawadakan, Jalan Kuda, Kota Belud, Sabah

Orang ramai boleh segera menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Afandi Othman di talian 019-815 6812 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd