Negara sekali lagi digemparkan dengan kes misteri kehilangan seorang guru bernama Istiqomah Ahmad Rozi, 33 yang telah dilaporkan hilang di Kota Masai, Johor pada 27 Disember yang lalu.
Apabila pihak polis melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Disember lalu merupakan milik cikgu Istiqomah.
Berikut merupakan kronologi kes kehilangan dan pembunuhan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 itu:
Tarikh: 26 Disember 2023
- Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3
Tarikh: 27 Disember 2023
- Pihak keluarga membuat laporan polis berkaitan kehilangan Istiqomah
- Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak telah mengesahkan mengenai laporan kehilangan wanita itu yang diterima pada pukul 12.36 tengah malam.
- Kereta dipandu Istiqomah ditemukan di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, Johor Bahru berhampiran rumahnya.
Tarikh: 31 Disember 2023
- Mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan ditemukan dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang dekat Alor Gajah, Melaka sekitar pukul 2 petang.
- Mayat ditemukan di tepi jalan raya dan terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah kosong.
- Identiti mangsa masih belum dikenal pasti
Tarikh: 6 Januari 2024
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu memaklumkan kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki mayat telah dipotong.
- Anggota badan yang hilang masih belum ditemukan di kawasan tersebut.
Tarikh: 2 Ogos 2024
- Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ibu kepada Istiqomah diambil oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Tarikh: 5 Ogos 2024
- Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Perak.
Tarikh: 6 Ogos 2024
- Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap pasangan berkenaan.
- Siasatan terhadap suspek membawa satu penemuan sebahagian anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.
Tarikh: 12 Ogos 2024
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemui dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Disember tahun lepas merupakan milik Istiqomah.
- Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan sambung reman terhadap suspek lelaki selama tujuh hari lagi.
Kita harap keadilan kes cikgu Istiqomah akan terbela. Kita doakan suspek akan menerima hukuman berat atas jenayah yang dilakukan.