Bapa Dipanggil Memberi Keterangan Kes Kanak-Kanak 12 Tahun Pandu Kereta

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik

Tular di media sosial apabila kanak-kanak 12 tahun memandu kereta di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor.

Justeru, polis mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki yang berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada jam 11.30 malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal telah mendapati kanak-kanak berkenaan memandu Perodua Viva dengan membawa dua adik lelakinya berusia enam dan empat tahun untuk bersiar-siar di kawasan perumahan itu kira-kira jam 8 malam Ahad lepas.

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Dalam rakaman itu, kereta terbabit memandu agak laju ketika melalui kawasan bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya segera memberhentikan kenderaan.

Wanita berkenaan mendakwa, remaja terbabit sudah beberapa kali dilihat memandu kereta di kawasan itu. Wanita tersebut terus membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri melaporkan, ibu bapa remaja terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Beliau menasihati para ibu bapa agar sentiasa peka dan tidak sewenang-sewenangnya membiarkan anak-anak mereka memandu kenderaan tanpa lesen.

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd