
Sudah pasti anda akan bersetuju bahawa hidangan wajib untuk juadah hari raya merupakan lemang dan rendang.
Juadah ini pasti membuatkan ramai di kalangan kita tidak mampu menolak hidangan yang dihidangkan sepanjang hari raya.
Walaupun masih banyak hidangan makanan tradisional yang lain, lemang mempunyai sejarah tersendiri.
Adakah anda tahu makanan lemang ini bukan sahaja diraikan dalam tradisi masyarakat Melayu untuk Hari Raya semata-mata tetapi sering juga dimasak ketika perayaan Hari Gawai.
Hidangan lemang mempunyai simbol sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan mempunyai hubungan silaturahim antara sesama manusia.
Hidangan ini mempunyai rahsia dalam menyediakannya kerana dianggap sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Lemang bukan makanan biasa yang mudah untuk dimasak kerana tukang masak memerlukan teknik tertentu dan perlu menggunakan cara yang tepat.
Sifat bekerjasama perlu ada dalam menjayakan pembuatan lemang supaya dimasak dengan baik dan mempunyai tekstur yang memuaskan. Di dalam sebatang lemang, jumlah tenaga yang dimiliki anggaran sebanyak 3,778 kalori dan paling menarik lemang tidak mengandungi dietari fiber.
Lemang telah didapati berada di seluruh Malaysia kerana menjadi makanan utama sejak tahun 1864 lagi. Fakta lemang di Malaysia dipercayai berasal daripada orang asli Malaysia yang menggunakan hidangan lemang sebagai makanan utama mereka.
Dikatakan lemang ini berasal dari orang asli di Kelantan yang dipanggil orang asli Negrito. Mengikut pakar, orang asli Negrito atau boleh dikenali juga sebagai Orang Semang merupakan penduduk yang paling terawal di Kepulauan Melayu.
Rekod yang ditemui mengatakan sejarah Orang Semang telah wujud sejak 1000 SM dengan bukti penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan.
Selain di Kelantan, Orang Negrito juga sudah mendiami Borneo, Sarawak. Penerokaan ini ditulis oleh pedagang British suatu ketika dahulu.
Asal usul kewujudan lemang bukan sahaja terdapat di Tanah Melayu tetapi terdapat juga di Indonesia yang mempunyai cerita dan sejarah lemang tersendiri.
Indonesia mempunyai pelbagai kumpulan etnik yang telah mengamalkan budaya berbeza kerana terdapat pelbagai pengaruh budaya dari luar seperti budaya Melayu yang masuk ke dalam negara.
Budaya Melayu ini tersebar luas di Indonesia terutamanya di Sumatera dan Borneo. Budaya Melayu juga mula mempengaruhi budaya Indonesia dalam pelbagai aspek terutama sekali dari segi makanan. Namun, walaupun mempunyai perbezaan tetapi makanan saling mengukuhkan perpaduan antara Malaysia dan Indonesia.
Kerana itulah masakan rendang dapat membina kesatuan seantero Malaysia, Indonesia dan Brunei bagi melawan keegoan ilmu masakan Inggeris di dalam sebuah program Master Chef UK. Rakyat bersatu hati apabila melihat juri Inggeris di dalam Masterchef tidak dapat merungkai tentang keunggulan masakan Melayu.
Jadi kita perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia yang kaya dengan warisan makanan tradisional.
Artikel ini ditulis oleh S.Syazan
Rujukan:
Tajria (Juadah Tradisional Raya)