ADA APA DEKAT HUTAN ROYAL BELUM?

Jom ikuti kami di Facebook & Tiktok untuk dapatkan berita terkini dan update yang menarik

Adakah anda pernah mendengar nama hutan Royal Belum? Hutan ini mempunyai keluasan 300,000 hektar iaitu bersamaan empat kali negara Singapura.

Hutan Royal Belum berusia 130 juta tahun lebih tua dari hutan Amazon. Ini telah menjadikan hutan Royal Belum sebagai hutan paling tua di dunia dan menyimpan pelbagai rahsia yang tidak diketahui.

Banyak kisah rahsia dan aneh yang tersimpan dalam hutan negeri Perak ini.

Dalam hutan ini terdapat sebuah kampung Lama Belum yang diceritakan mempunyai ikan toman gergasi, misteri pokok ara tiga penjuru, penempatan orang asli suku Jahai dan terdapat lokasi pertempuran komunis dengan tentera Malaysia.

Hutan Royal Belum yang disenaraipendek oleh UNESCO sebagai warisan dunia.

Pada waktu malam pula, berlakunya aktiviti memburu ikan. Namun, tiada siapa yang tahu di dalam hutan yang tebal dan luas ini dahulunya pernah mempunyai perkampungan lama masyarakat Melayu yang berada jauh di tengah hutan.

Perjalanan yang mengambil masa dua hari untuk sampai ke sana menggambarkan kampung ini jauh terpencil dari orang ramai.

Kampung-kampung kecil yang ada di Belum Lama kini hanya menjadi kubur lama.

Walaupun sudah tak lagi menjadi tempat tinggal tetapi setiap tahun keadaan kampung ini sering menerima pelawat seperti menjadi amalan dan tradisi yang dilakukan penduduk sekitar.

Agak-agak apa yang mereka buat dalam hutan?

Pada tahun 1952, masyarakat Kampung Belum Lama berhijrah ke Bendang Puru berhampiran Grik kerana menerima arahan daripada pihak British.

Pada waktu itu, British telah melakukan serangan secara besar-besaran bagi menawan komunis semasa menjadikan Hutan Belum sebagai tempat persembunyian dan kubu pertahanan.

Sebenarnya bukan mudah untuk pergi ke Kampung Belum Lama. Mereka perlu menempuh perjalanan yang sangat jauh bermula dari Sungai Kejar dan perlu bermalam di dalam hutan.

Mereka perlu berwaspada kerana terdapat pelbagai haiwan liar yang sedang minum di sungai ini.

Sudah ramai orang kampung mempunyai pengalaman pernah berhadapan dengan situasi menakutkan berselisih dengan haiwan seperti seladang, gajah, harimau dan lain-lain yang memang dikenali amat garang dan mengancam nyawa manusia.

Bukti bekas tapak kaki gajah yang ditemui sudah cukup menggerunkan bagi orang yang menggunakan laluan untuk ke Kampung Belum Lama.

Taman Negeri Royal Belum. Foto oleh Wikipedia

Perkongsian daripada Mohamad Awang atau dikenali sebagai Pak Teh mewarisi kehebatan yang ada pada Datuk Pulang Hari iaitu masyarakat awal yang telah membuka Kampung Lama Belum bersama Puteri Saadon beratus tahun terdahulu.

Dikatakan Datuk Pulang Hari diberi gelaran ini kerana kelebihan yang ada mampu pulang ke Pattani, Thailand dari Belum Lama dalam tempoh hari yang sama. Secara logiknya, kebiasaan orang mengambil masa berhari-hari berulang alik dari Pattani ke Belum Lama.

Menurut sumber, anak beliau telah berkahwin dengan Puteri Saadon, berasal daripada bangsa orang bunian di Belum Lama.

Keistimewaan yang dimiliki dalam masyarakat mereka menyebabkan setiap tahun sekiranya mereka pulang melawat Belum Lama, mereka akan melakukan tahlil bagi mengelak berlakunya musibah seperti hujan lebat dan banjir.

Penempatan orang asli di sekitar Hutan Royal Belum. – Foto oleh Belum Outdoor Adventure (BOA)

Orang kampung turut berkongsi cerita yang sama tentang kehebatan dimiliki Pak Teh kerana dalam usia tua masih mampu ke Belum Lama lebih cepat berbanding orang kampung yang lain.

Kehebatan yang dimiliki ini membuatkan Pak Teh digeruni pihak komunis. Walaupun khabar angin tentang terdapat lombong emas di Belum Lama tersebar namun belum ada penemuan sebagai bukti.

Belum Lama masih menyimpan banyak rahsia kerana sering menerima pelawat setiap tahun mengadakan majlis tahlil dan bergotong royong.

Sehingga sekarang tiada siapa yang mampu menyelesaikan misteri Hutan Belum ini. Mungkin tidak ramai yang sanggup meredah hutan untuk sampai ke Kampung Hutan Belum yang tersembunyi keunikan tersendiri.

Artikel ini ditulis oleh S. Syazan.

Rujukan:

Berita Harian (Membongkar misteri Royal Belum)

Sinar Harian (Bongkar misteri Royal Belum, hutan tertua dunia)

© 2024 Watakongsi. All Rights Reserved.
Design & Developed By Ibina Technology Sdn Bhd